Impact Malaysia

Apa Itu Projek Sosial Secara ‘Touch & Go’?

Hi semua!

Kelmarin, Impact Malaysia melalui program Impact Takeover telah membincangkan isu pembangunan dengan topik “Menjadi Ungku: Isu Pembangunan Untuk Pemula” bersama panelis-panelis jemputan kami iaitu Noor Shahiwan Ismail (CEO Suncrox Solar) atau lebih dikenali sebagai Iwan dan juga Izziantee Bt Izzahan, seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik.

Banyak isu-isu pembangunan yang sempat kami kupaskan dalam waktu 2 jam tersebut, dan apa yang menarik perhatian #TeamImpact adalah apabila Iwan mengetengahkan masalah belia atau beberapa pihak yang melakukan kerja projek sosial atau program-program kesukarelawanan ini secara ‘Touch & Go’.

Apa yang dimaksudkan dengan ‘Touch & Go’ ini?

Dalam konteks ini, ‘Touch & Go’ ini bermaksud anda hanya melakukan projek sosial atau melakukan program-program kesukarelawanan tanpa sebarang objektif. Ada juga yang hanya melakukan projek sedemikian untuk kepuasan diri sendiri dan mahukan projek itu menular. Anda pernah sertai projek sosial ‘Touch & Go’ ni dan apakah langkah-langkah untuk mengelakkan projek anda supaya tidak terjadi seperti situasi ini?

Langkah #1, Lakukan kajian anda!


Tanya diri anda, masalah sosial apa yang anda nak selesaikan? Sebagai contoh, anda ingin menyelesaikan masalah perubahan iklim dalam komuniti anda. Seterusnya, anda boleh mula mencari mana-mana badan organisasi yang memperjuangkan isu ini. Anda harus mengambil pendekatan untuk memahami program-program yang telah mereka jalankan dan mengenal pasti impaknya kepada komuniti. Lebih baik lagi kalau anda dah kenal pasti komuniti itu dan anda sendiri turun padang dan bertanya terus kepada mereka! Ini kerana kita nak komuniti itu sendiri yang teruskan program yang anda nak laksanakan itu.

Langkah #2, Sertai inisiatif sedia ada

Sebenarnya banyak cara untuk anda menjadi seorang changemaker! Tak ada peraturan pun yang mengatakan sekiranya anda mahu bergelar sebagai seorang changemaker, anda kena buat projek berimpak sosial sendiri atau tubuhkan organisasi dari awal! Banyak organisasi-organisasi kecil di luar sana yang mencari sukarelawan dan ahli untuk membantu mereka menyelesaikan masalah sosial! Apa yang anda harus buat adalah hubungi mereka dan hulurkan kepakaran anda. Walaupun kita hidup di zaman digital, tak semua organisasi mempunyai media sosial, jadi anda kena cari inisiatif untuk menghubungi mereka melalui telefon atau emel.

Langkah #3, Cari jalan untuk dapatkan dana dan pasukan yang serius

Biasanya, kekangan belia apabila mereka nak jalankan projek berimpak sosial ni adalah mereka tak ada dana atau tak tahu nak cari dana dari mana. Kami faham masalah anda ini walaupun anda seorang pelajar kolej/universiti hatta baru sahaja memasuki alam pekerjaan, isu kewangan ini penting, tambah pula dengan keadaan pandemik COVID-19 yang mengakibatkan keadaan ekonomi yang tak menentu.

Kalau anda nak tahu, Impact Malaysia baru sahaja melancarkan Dana Impact Youth!

Dana yang kami nak beri kepada belia berumur 18-30 tahun yang minat melakukan projek berimpak sosial ini sejumlah RM 5000! Banyak bidang yang anda boleh buat – kesaksamaan gender, akses kepada air bersih, sumber tenaga, hak asasi manusia dan banyak lagi lah. Permohonan untuk Dana Impact Youth ni terbuka sehingga 22 Julai, jadi gunakan lah waktu yang ada ini untuk mencari pasukan yang anda rasa serius dan komited untuk jalankan projek ini bersama anda. Jangan risau, kami akan pastikan projek berimpak sosial anda ni betul-betul memberikan impak dan bukan sekadar ‘Touch & Go’ kerana sekiranya projek anda terpilih, anda wajib masuk Akademi Impact selama 7 hari dan memang banyaklah modul yang akan anda belajar nanti. Nak tahu lebih lanjut tentang Dana Impact Youth? pergi ke link ini https://impact.my/ms/dana-impact-youth/