Impact Malaysia

Isu Perumahan Dari Perspektif Anak Muda

Setiap individu khususnya golongan belia pasti menanam cita-cita untuk memiliki sebuah rumah yang indah dan selesa didiami bersama keluarga tercinta. Namun, isu seperti peningkatan harga rumah pada masa kini menjadi penghalang terhadap cita-cita mereka ini. Terdapat pelbagai program seperti forum dan perbahasan dilakukan untuk memperjuangkan aspirasi anak muda bagi membantu mereka memiliki sebuah rumah. Kebelakangan ini, isu pemilikan rumah dalam kalangan anak muda ini kian memuncak apabila ada pihak yang mengetengahkan isu ‘Homeless Generation’ melibatkan harga rumah di Malaysia yang berada di luar paras mampu milik jika dibandingkan dengan purata pendapatan generasi muda pada abad ini.

Pada 11 Mei 2019, Dasar Perumahan Mampu Milik Negara Dan Standard Perumahan Kebangsaan telah dilancarkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Zuraida Kamaruddin. DRMM merupakan insiatif kolaborasi rentas kementerian dan agensi iaitu Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Construction Research Institute Malaysia (CREAM) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Perumahan Negara (JPN). Inisiatif yang dilakukan kerajaan ini perlu disambut baik hal ini kerana pelancaran dasar dan standard berkaitan sektor perumahan ini dilihat dapat membantu menurunkan harga rumah. Namun, adakah ianya relevan untuk dilaksanakan jika dilihat dengan keadaan ekonomi pada masa kini.

Antara punca kegagalan anak muda memiliki rumah sendiri adalah kecenderungan pemaju membina projek perumahan mewah untuk memperoleh margin keuntungan yang besar tanpa mengambil kira faktor pendapatan prospek atau potential buyers. Bukan itu sahaja, masalah harga tinggi ini juga timbul disebabkan oleh sekumpulan pelabur yang membeli rumah dengan tujuan untuk memanipulasi harga rumah semasa dan menjualnya pada harga yang amat tinggi.

 Individu seperti ini, telah mengakibatkan harga rumah meningkat secara mendadak kerana mereka mengambil peluang mencipta kenaikan harga yang melampau dan mengganggu kadar permintaan semasa dan harga hartanah daripada meningkat secara semula jadi. 

Pada masa yang sama, jumlah pendapatan yang masih rendah dalam kalangan anak muda menjadi punca utama mereka masih tidak mampu memiliki rumah sendiri. Jelas terdapat beberapa projek pembinaan rumah bagi memastikan rakyat mempunyai kediaman sendiri namun ia seolah-olah sia-sia berikutan kekangan dari segi pendapatan.

Sebagai contoh gaji yang rendah dalam kalangan anak muda sudah pasti menyebabkan mereka tidak mampu membeli rumah terutama jika rumah yang ditawarkan dengan harga yang tinggi. Syarat yang ketat bagi pinjaman hartanah yang dikenakan oleh bank atau institusi kewangan menyukarkan lagi anak muda untuk membeli rumah impian mereka. Pembeli perlu sekurang-kurangnya menyediakan 10 peratus deposit rumah dan hal ini membebankan lagi anak muda dalam pembelian rumah.  

Pelbagai cara dan langkah boleh dilakukan bagi mengatasi masalah ini antaranya pendidikan secara formal berkenaan strategi pemilikan yang betul. Kerajaan boleh melakukan inisiatif tabung perumahan negara sejak dari kecil bagi membantu golongan muda menabung sekurang-kurangnya duit deposit bagi pembelian rumah. Tambahan, kerajaan boleh mengesyorkan anak muda membeli rumah lelong kerana adakalanya harga lelongan yang ditawarkan adalah rumah mampu milik. 

Selain itu, pihak kerajaan perlu membuat kawalan pembelian rumah secara komprehensif terutama kepada golongan T20. Jika golongan T20 monopoli pembelian rumah, mereka akan mengambil peluang untuk manipulasi harga rumah sewa. Kerajaan boleh melakukan satu laman sesawang yang mewajibkan kepada semua “tuan rumah” untuk berdaftar. Oleh itu, pemantauan harga sewa dapat dilakukan kerajaan bagi menyelesaikan isu manipulasi harga sewa.

 Dalam konteks institusi kewangan, bank-bank hendaklah mewujudkan skim pinjaman atau dana khas kepada golongan muda untuk membeli rumah dan mempermudahkan proses kelulusan pinjaman tersebut. Usaha kerajaan persekutuan dan negeri berkenaan perumahan mampu milik perlu diperbanyakkan bagi membolehkan golongan anak muda mendapatkan akses kepada pemilikan rumah yang berkualiti dan mampu milik. 

Justeru itu, semua pihak yang berkaitan perlu bekerjasama bagi mencari mekanisme terbaik untuk merealisasikan impian generasi muda untuk memiliki rumah. Oleh itu, marilah kita berusaha bagi merealisasikan impian untuk melihat setiap rakyat Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya sebuah rumah sendiri kerana ia dapat meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat secara holistik.

Artikel ini ditulis oleh Nizrul Hafiz