AKADEMI RAKAN MUDA (ARM) CETUS INOVASI SOSIAL DALAM
KALANGAN BELIA
1. Yang Berhormat Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan Malaysia hadir merasmikan majlis graduasi Akademi Rakan Muda (ARM) 2024 dan seterusnya melancarkan ARM 2025 hari ini.
2. Akademi Rakan Muda merupakan salah satu inisiatif pemerkasaan belia peringkat kebangsaan yang bertujuan melengkapkan belia Malaysia dengan kemahiran, pendanaan dan bimbingan untuk memimpin projek-projek berasaskan komuniti sejajar dengan 10 Gaya Hidup Rakan Muda. Matlamat utama ARM adalah untuk memberi peluang kepada belia untuk menjadi agen perubahan sosial (changemaker) melalui projek yang dilaksanakan di peringkat komuniti.
3. ARM 2024 yang diterajui oleh Impact Integrated menerusi inisiatif Impact Malaysia dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan telah mencatatkan kejayaan yang membanggakan apabila berjaya menjangkau 8,141 individu secara langsung melalui 10 projek komuniti yang diketuai belia seluruh Malaysia.
4. Program yang bersifat inklusif ini telah melibatkan belia dari pelbagai latar belakang termasuk komuniti belia luar bandar, golongan rentan seperti golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan pribumi Sabah & Sarawak.
5. Menurut YB Hannah Yeoh, “Kejayaan ARM 2024 telah membuktikan keupayaan luar biasa belia Malaysia dalam menangani cabaran sosial di semua lapisan masyarakat. ” Beliau menegaskan bahawa program ini telah berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberikan impak positif kepada masyarakat, merangkumi bidang literasi kewangan, pemeliharaan budaya, kemahiran teknikal, kesihatan mental, kelestarian alam sekitar, dan pembangunan komuniti luar bandar selari dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030.6. Dalam usaha untuk meningkatkan skala dan impak program, ARM 2025 akan dilaksanakan dengan penambahbaikan yang signifikan. Sebanyak 10 projek impak sosial akan dilaksanakan dengan skala yang lebih besar. Program ini dijangka akan menjangkau penerima manfaat dengan peruntukan sehingga RM15,000.00 bagi setiap projek.
7. KBS melalui Impact Integrated komited untuk membina sebuah ekosistem impak sosial yang kukuh selari dengan nilai kesejahteraan dan keyakinan dalam kerangka Malaysia MADANI. Usaha ini merangkumi pelbagai inisiatif seperti pemeliharaan warisan budaya komuniti tempatan, pembangunan luar bandar yang mampan, dan penciptaan penyelesaian inovatif bagi menangani isu-isu sosial tempatan.
8. Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, sila berhubung dengan Encik Fadhli Hamim dari Impact Integrated (013-3969406/ fadhli.hamim@impact.my).
