TOWN HALL TAHUNAN E-SUKAN KBS 2025 PERKUKUH PERSIAPAN

HALA TUJU INDUSTRI 2026-2030

30 OKTOBER 2025

1. Yang Berhormat Adam Adli, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, hadir menyempurnakan Town Hall Tahunan E-sukan KBS 2025 hari ini. Program yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Esports Integrated (ESI) ini menghimpunkan pemegang taruh utama industri bagi membincangkan pembangunan serta hala tuju ekosistem e-sukan Malaysia bagi tempoh lima tahun akan datang.

2. Program ini menjadi platform strategik bagi membentangkan hasil libat urus ke arah memuktamadkan draf Pelan Strategik Pembangunan Sukan Elektronik KBS 2026-2030. Rangka kerja lima tahun ini disediakan untuk melahirkan ekosistem esukan yang mampan dan berdaya saing, dengan penekanan kepada lima teras utama dalam pelaksanaannya.

3. Penganjuran Town Hall ini merangkumi pengenalan rangka kerja pemantauan dan penilaian dengan indikator prestasi yang jelas, selaras dengan strategi pengurangan suntikan dana kerajaan secara berkala. Sesi ini turut melaporkan status pelaksanaan inisiatif e-sukan di bawah KBS bagi tempoh 2024-2025.

4. Selari dengan aspirasi Malaysia MADANI, penganjuran Town Hall ini memperkukuh nilai Keyakinan menerusi komitmen kerajaan terhadap tadbir urus yang telus dan akauntabiliti dengan fokus kepada pembangunan ekosistem yang mampan dan berdaya saing bagi memacu ekonomi, dan turut mencerminkan nilai Ihsan dengan memastikan pembangunan industri ini inklusif dan tidak meminggirkan mana-mana pihak.5. YB Adam Adli menekankan bahawa kerjasama erat antara kerajaan, penggiat industri, pemain profesional, dan komuniti adalah amat penting dalam fasa pertumbuhan seterusnya. Maklum balas daripada semua pihak dalam sesi libat urus ini akan memastikan Pelan Strategik Sukan Elektronik 2026-2030 yang sedang dimuktamadkan menjadi sebuah komitmen jitu untuk membina ekosistem yang mampu bersaing di peringkat global, selamat, memacu ekonomi, serta ditadbir urus dengan telus tanpa ada yang ketinggalan.

6. Untuk pertanyaan media dan butiran lanjut, sila hubungi:

fadhli.hamim@impact.my (013-3969406)

 

Mengenai Esports Integrated (ESI)

Esports Integrated (ESI) adalah sebuah inisiatif di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang bertujuan untuk memacu pertumbuhan industri esukan yang bertenaga dan mampan di Malaysia. ESI berfungsi sebagai pemudah cara, pemangkin, dan pemaju ekosistem dengan memberi tumpuan kepada pembangunan atlet, pengukuhan infrastruktur, dan penciptaan peluang ekonomi dalam sektor esukan.