KOMUNITI ESUKAN NEGARA DIPERKASAKAN MENERUSI DANA ESUKAN KBS 2025 BERJUMLAH RM1.5 JUTA

KOMUNITI ESUKAN NEGARA DIPERKASAKAN MENERUSI DANA ESUKAN

KBS 2025 BERJUMLAH RM1.5 JUTA

4 JUN 2025

1. Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Esports Integrated (ESI), sebuah inisiatif di bawah Impact Integrated telah membuka permohonan bagi Dana Esukan KBS (DEK) 2025 hari ini. Pengumuman ini menandakan tahun ketiga pelaksanaan DEK dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.5 juta, meningkat sebanyak RM500 ribu berbanding tahun 2024.

2. Penyediaan DEK ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KBS untuk menyokong pertumbuhan sektor esukan yang semakin berkembang saban tahun. Sejak inisiatif ini mula diperkenalkan pada 2023, DEK telah menyokong lebih 80 inisiatif esukan akar umbi di seluruh negara melibatkan penganjuran kejohanan, pembangunan bakat, kandungan digital serta aktiviti komuniti.

3. DEK membuka ruang lebih banyak kepada organisasi, kelab komuniti, pencipta kandungan serta penganjur tempatan untuk menyumbang kepada landskap esukan Malaysia yang progresif selari dengan nilai teras daya cipta dan keyakinan dalam konsep Malaysia MADANI.

4. “Dana Esukan KBS bukan hanya sekadar satu skim bantuan kewangan semata-mata, tetapi merupakan simbol kepercayaan dan komitmen KBS terhadap potensi besar esukan. DEK ini adalah selari dengan hasrat untuk merakyatkan sukan temasuklah esukan melalui pendekatan whole-of-nation. Dengan adanya DEK, kita ingin memastikan peluang ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penggiat industri dalam memacu ekosistem esukan negara yang lebih progresif, inklusif, dan berdaya saing.” kata YB Adam Adli Abdul Halim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

5. Bagi membantu pemohon menyediakan cadangan program yang berkualiti dan memahami proses penilaian, KBS menerusi ESI akan menganjurkan sesi libat urus DEK. Sesi ini termasuk pengenalan, panduan penyediaan kertas kerja dan sesi soal jawab. Sesi ini terbuka kepada semua penggiat industri termasuk institusi pendidikan, organisasi belia dan sukan, dan kumpulan komuniti. Lokasi dan tarikh libat urus ini akan diumumkan dalam masa terdekat. Pemohon boleh melayari laman sesawang http://www.esportsintegrated.com/danaesukankbs atau emel ke DanaEsukanKBS@esportsintegrated.com untuk sebarang maklumat lanjut berkenaan DEK 2025.

6. Permohonan DEK akan dilaksanakan secara dalam talian dan dibuka bermula pada 4 Jun 2025 sehingga 31 Julai 2025, dan keputusan akan diumumkan pada 28 Ogos 2025. Pemohon perlu melaksanakan program dalam tempoh September hingga November 2025.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT

KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN

Untuk maklumat lanjut berkaitan siaran media ini, sila hubungi Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Belia dan Sukan di talian 03-8871 3100 atau e-mel fadhli.hamim@impact.my / 03-80644424.