MALAYSIA ESPORTS ACCELERATOR PROGRAMME (MEAP) KUKUH PERSIAPAN ATLET E-SUKAN NEGARA

PUCHONG, 10 Julai 2025 – Malaysia Esports Accelerator Programme (MEAP) telah dilancarkan secara rasmi hari ini di ESI Hub, Space Rubix, Puchong oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli Abd Halim hari ini.

MEAP merupakan program pembangunan bakat e-sukan Malaysia yang diterajui oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Esports Integrated dengan sokongan dari Malaysia Esports Federation (MESF) . Program ini menyediakan pembangunan holistik merangkumi kemahiran teknikal, persiapan mental dan fizikal bagi para pemain.

YB Adam Adli, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, berkata dalam ucapannya, “e-sukan bukan lagi sekadar hobi, tetapi sebuah industri bernilai billion ringgit yang sedang dan bakal membuka peluang kerjaya kepada belia Malaysia. MEAP adalah bukti komitmen kerajaan dalam menyokong bakat tempatan untuk bersaing di pentas dunia. Program ini bukan sahaja memfokuskan kepada aspek teknikal permainan, tetapi turut mengambil kira kesejahteraan mental dan fizikal para pemain.”

“MEAP akan terus diperluas kepada permainan video lain seperti Tekken 8, Street Fighter dan juga Tetris. Walaupun permainan-permainan ini tidak mempunyai pertandingan rasmi daripada penerbit permainan video itu sendiri, wakil Malaysia yang bertanding ke peringkat antarabangsa masih layak untuk menerima dana MEAP. Kita tidak akan membiarkan mana-mana pemain berbakat dari Malaysia terlepas peluang keemasan,” tambah beliau.

Sembilan pasukan dan pemain terpilih telah menerima sokongan dana bernilai antara RM5,000 hingga RM40,000 untuk menyertai kejohanan antarabangsa dalam pelbagai kategori permainan. Pelaksanaan program ini membuktikan komitmen kerajaan dalam menyediakan atlet e-sukan negara ke arah kejayaan di peringkat global.

Antara permainan yang layak menerima MEAP termasuk:

Esports World Cup 2025:

● Mobile Legends: Bang Bang – Selangor Red Giants, Homebois, Navi Esports

● Honor of Kings – Nova Esports, Black Shrew Esports, Alpha Gaming

Kejohanan Antarabangsa Lain:

● eFootball Championship Open Tokyo, Japan – Homebois GEGE

● IESF World Esports Championship – WPS Hariz

● Asia Pacific Motorsport Championship – Axle Sports

Majlis hari ini juga turut menampilkan tiga sesi khusus dalam kerjasama dengan agensi kerajaan yang menunjukkan pendekatan bersepadu dalam pembangunan atlet e-sukan negara. Sesi-sesi tersebut termasuk sesi kesihatan mental dengan Institut Sukan Negara, perkongsian pencapaian atlet professional bersama Majlis Sukan Negara, serta sesi komunikasi dan perhubungan awam bersama jurulatih profesional.

Untuk pertanyaan media dan maklumat lanjut, sila hubungi:

fadhli.hamim@impact.my (013-3969406)