Malaysia Esports League 2025 Bakal Nobat Juara Kebangsaan Merentas Sembilan Permainan

Malaysia Esports League 2025 Bakal Nobat Juara Kebangsaan Merentas Sembilan Permainan

 

PUCHONG, Malaysia – Malaysia Esports League 2025 (MEL25) memperkenalkan format baharu yang bakal mengubah landskap esukan tempatan dengan sistem pemilihan yang lebih komprehensif dan adil untuk mengangkat bakat esukan terbaik negara.

Esports Integrated (ESI), sebuah inisiatif di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Impact Integrated, dengan kerjasama Malaysia Esports Federation (MESF), hari ini mengumumkan peringkat akhir MEL25 yang menjadi titik penting dalam pembangunan esukan tempatan sebagai pertandingan terbesar di peringkat akar umbi dalam negara.

Edisi-edisi terdahulu hanya memfokuskan kepada wakil pemenang dari setiap negeri manakala MEL25 memperkenalkan sistem carta pendahulu (leaderboard) kebangsaan yang merekodkan prestasi kesemua pemain sepanjang kejohanan dari Januari hingga Ogos 2025.

Transformasi besar ini dilaksanakan melalui integrasi dengan MyLeague MESF yang membolehkan setiap pasukan atau individu mengumpul mata melalui pertandingan dalam talian mahupun secara fizikal, memberikan peluang yang lebih luas dan adil kepada semua pemain untuk membuktikan kemampuan mereka.

“Format baharu MEL25 ini adalah bukti komitmen Esports Integrated dalam mendukung visi strategik kerajaan untuk menyediakan platform yang lebih mampan dan menyeluruh dalam usaha mencungkil bakat esukan negara,” kata Ahmed Faris Amir, Ketua Pegawai Eksekutif Esports Integrated.

Presiden MESF, Muhammad Naim Al Amin, menekankan kelebihan teknikal format baharu ini. “Berbeza dengan format tahun lalu yang hanya bergantung kepada juara negeri untuk melangkah ke peringkat akhir, MEL 2025 tampil dengan format baharu yang menggunakan sistem mata carta pendahulu melalui siri MyLeague dan MEL State Open,” katanya.

“Pendekatan ini direka bagi memperluaskan peluang dan memberikan laluan yang lebih adil kepada pemain serta pasukan yang konsisten sepanjang musim. Dengan format ini, kita bukan sahaja membuka ruang kepada lebih ramai bakat baharu untuk menyerlah, malah memudahkan proses mengenal pasti atlet terbaik secara berterusan bagi membawa nama Malaysia di sukan temasya seperti Sukan SEA atau Sukan Asia,” tambah beliau.

Peringkat akhir MEL25 menampilkan sembilan acara kejuaraan: eFootball Mobile, PUBG Mobile, Free Fire, Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), Tekken 8, Street Fighter 6, King of Fighter XV, Gran Turismo 7, dan Honor of Kings. Pasukan dan pemain di kedudukan teratas dalam setiap carta pendahulu akan bersaing pada peringkat akhir yang berlangsung setiap hujung minggu bermula 3 Ogos dan berakhir pada 24 Ogos di ESI Hub, Spacerubix, Puchong.

Bagi memastikan MEL25 mengekalkan elemen akar umbi di peringkat negeri, kejohanan terbuka telah dianjurkan di setiap negeri dari 18 Mei 2025 hingga 20 Julai 2025, untuk dua jenis permainan; permainan berpasukan seperti MLBB dan PUBG Mobile serta permainan individu seperti eFootball dan Tekken 8. Ini memastikan pemain-pemain di peringkat akar umbi diberikan peluang yang sama rata untuk menjadi sebahagian daripada MEL25.

Kerjasama strategik antara Esports Integrated dan MESF ini bakal merapatkan jurang dalam komuniti esukan Malaysia, memberikan sokongan rasmi kepada pembangunan akar umbi sambil mewujudkan laluan yang jelas untuk atlet membangunkan kerjaya mereka dalam esukan.

Orang ramai boleh menyaksikan aksi sengit peringkat akhir MEL25 secara langsung di akaun media sosial Esports Integrated (@esportsintegrated) atau hadir ke ESI Hub, Spacerubix, Puchong pada 16-17 Ogos dan 23-24 Ogos 2025 dari 10 pagi hingga 6 petang untuk pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Untuk pertanyaan media dan butiran lanjut, sila hubungi:

fadhli.hamim@impact.my (013-3969406)

Mengenai Liga Esports Malaysia 2025

MEL25 ialah pertandingan esukan peringkat akar umbi di Malaysia, dianjurkan oleh Esports Integrated (sebuah inisiatif di bawah KBS dan Impact Integrated) dengan kerjasama Malaysia Esports Federation (MESF). Liga ini berlangsung dari Januari hingga Ogos 2025, menampilkan pertandingan dalam talian dan acara fizikal di peringkat kebangsaan yang direka untuk memberikan platform kompetitif dengan laluan yang jelas kepada bakat esukan tempatan di samping ruang bagi pemilihan pemain bagi pasukan kebangsaan untuk ke sukan temasya.